Kurangkan Pemanasan Global
Logo JPNIN

LAMAN WEB RASMI

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL

(JABATAN PERDANA MENTERI)

1Akses
   
             

PENGENALAN

Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) telah ditubuhkan pada 11 September 2013 susulan dari Pilihanraya Umum Ke-13. Ia sebagai usaha penyatuan nasional (national reconciliation) untuk mengurangkan polarisasi kaum dan usaha membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.

 

TUJUAN

  • Membincangkan isu-isu sukar dalam kalangan masyarakat Malaysia yang kompleks bagi merintis jalan untuk mencari penyelesaian dan merapatkan jurang yang menghalang perpaduan.
  • Konsep penyatuan nasional tidak berkait dengan agenda politik jangka pendek atau pilihanraya.

MATLAMAT

  • Membina bangsa yang memerlukan kerja keras dan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Ia bukan sahaja bagi generasi yang ada kini, malah bagi generasi-generasi akan datang.
  • Penyatuan nasional juga tidak bermakna segala kepentingan nasional dilepaskan demi memenuhi tuntutan pihak-pihak tertentu.

LATAR BELAKANG MAJLIS KONSULTASI PERPADUAN NEGARA (MKPN)

Sebelum penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), beberapa badan telah ditubuhkan, dimana ia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih kurang sama dengan MKPN.

 

Majlis Perpaduan Negara (1969 - 1971)


Badan ini dikenali dengan nama Majlis Perpaduan Negara yang ditubuhkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bersandarkan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat, 1969, Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971 berikutan berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis telah dibubarkan serentak dengan pembubaran Majlis Gerakan Negara berikutan pemulihan Kerajaan demokrasi berparlimen pada 23 Februari 1971.

 

Majlis Penasihat Perpaduan Negara


Majlis Penasihat Perpaduan Negara telah ditubuhkan yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Majlis dianggotai oleh seramai 51 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan mengekalkan peranan Majlis Perpaduan Negara. Ia diurusetiakan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara. Kedua-dua agensi ini, kemudiannya dicantumkan menjadi Kementerian Perpaduan Negara pada 1 Januari 1972 yang menjadi urusetia kepada Majlis dan dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Perpaduan Negara.

 

Lembaga Penasihat Perpaduan Negara & Lembaga Perpaduan Negara (1974)

Pada tahun 1974, badan ini telah ditukar nama dan dikenali dengan Lembaga Penasihat Perpaduan Negara berikutan pembubaran Kementerian Perpaduan Negara dan digantikan dengan Lembaga Perpaduan Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Keahlian badan ini turut dikurangkan kepada 16 orang yang dipengerusikan oleh Pengerusi Kerja Lembaga Perpaduan Negara.

 

Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) (1983)

Pada tahun 1983, sekali lagi ia bertukar nama kepada Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL). Ia adalah lanjutan dari pembubaran Lembaga Perpaduan dan penubuhan Jabatan Perpaduan Negara. Keahlian badan ini telah bertambah kepada 26 orang dan dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perpaduan negara.

Seterusnya, berikutan tertubuhnya Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara dicantumkan dan diletakkan di bawah Kementerian ini dan PANEL dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Pada tahun 2004, sekali lagi perubahan nama berlaku apabila Jabatan Perpaduan Negara yang kembali diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dipinda namanya dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Pengerusi PANEL turut berubah di mana ia dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keahlianya ditambah menjadi 53 orang.

Pada tahun 2008, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional digabungkan dan menjadi salah sebuah agensi di bawah kementerian baru yang dikenali dengan nama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tahun 2009, kementerian ini sekali lagi mengalami perubahan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kembali diletakkan dan menjadi salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kekal sehingga kini.

 

Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN)

Pada 15 September 2011, dalam perutusan khas Hari Malaysia, Y.A.B. Perdana Menteri di dalam ucapannya telah mengumumkan bahawa mengikut Fasal 3, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ketiga-tiga penguatkuasaan proklomasi darurat yang telah diisytiharkan dahulu ditamatkan. Lanjutan dari pengumuman ini, penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara yang bersandarkan kepada Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat, 1969 di bawah Peratoran-Peratoran Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971 turut termansuh secara automatik.

Keperluan menubuhkan sebuah badan yang menjadi mekanisma perpaduan bagi menggantikan PANEL telah diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri di bawah konsep penyatuan nasional (national reconciliation). Ia dicadangkan sebaik sahaja selesainya Pilihanraya Umum Ke 13 dalam bulan Mei 2013 yang lalu. Berasaskan kepada pemerhatian umum dan trend pengundian ketika itu, tanda-tanda polarisasi kaum mula wujud dan perlu ada sebuah mekanisma bebas untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik di dalam mengatasi isu-isu polarisasi kaum dan perpaduan yang berbangkit.

Oleh itu, pada 11 September 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan sebuah badan yang dikenali dengan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC).