Kurangkan Pemanasan Global
Logo JPNIN

LAMAN WEB RASMI

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL

(JABATAN PERDANA MENTERI)

1Akses
   
             

PENGENALAN

Skim Rondaan Sukarela adalah satu skim yang dipohon oleh sekumpulan pemastautin dalam Kawasan Rukun Tetangga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 orang dan berumur 18 tahun ke atas.

Skim Rondaan Sukarela telah dilancarkan secara rasminya pada 21 Februari 2004 di Pulau Pinang. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 April 2004 telah memutuskan untuk memperluaskan SRS di seluruh negara.

Tujuan utama penubuhan Skim Rondaan Sukarela adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat. Permohonan untuk mengendalikan Skim Rondaan Sukarela di keseluruhan atau sebahagian kawasan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Sektor Pendaftaran.

Peranan Kawasan Rukun Tetangga dalam menjaga keselamatan telah di perkasakan apabila Skim Rondaan Sukarela (SRS) diiktiraf dan di promosi sebagai salah satu pelaksana utama dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Iaitu untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah di bawah GTP dan bekerjasama dengan PDRM dan RELA serta pihak berkuasa tempatan.

 

TUGAS ANGGOTA SKIM RONDAAN SUKARELA (SEKSYEN 18 AKTA RUKUN TETANGGA 2012)

 

 

Tugas meronda di dalam Kawasan sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga

 

Tugas mengawal di Pusat Kawasan pada apa-apa waktu sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah

 

Tugas mengawal di mana- mana premis, tempat atau lokasi di dalam Kawasan sebagaimana yang dikehendaki oleh Pengarah

STATISTIK SKIM RONDAAN SUKARELA

 

 

Klik gambar untuk paparan lebih besar

 

BUKU PANDUAN SKIM RONDAAN SUKARELA

Buku Panduan Skim Rondaan Sukarela

 
 
  • Cara Permohonan
  • Soalan Lazim

Permohonan boleh dibuat secara on-line dan manual seperti berikut :

  1. Boleh layari laman web jabatan di alamat www.jpnin.gov.my di bawah Aplikasi Atas Talian :

    • Klik Permohonan Penubuhan Skim Rondaan Sukarela

      • Klik Permohonan Peronda Skim Rondaan Sukarela
      • Borang Permohonan Penubuhan Skim Rondaan Sukarela atau Permohonan Peronda Skim Rondaan Sukarela akan dipaparkan.
      • Sila lengkapkan semua maklumat yang diperlukan.
      • Setelah selesai, klik hantar
      • Penyata Permohonan Penubuhan Skim Rondaan Sukarela atau Permohonan Peronda Skim Rondaan Sukarela akan dipaparkan
      • Permohonan seterusnya akan diproses oleh Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian  yang bertanggungjawab.
    • Sekiranya secara manual, boleh hubungi talian 03-88837000 minta disambungkan ke Bahagian Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan, Unit Keselamatan Komuniti  Maklumat berkenaan akan diambil maklum oleh pegawai yang bertanggungjawab dan proses seterusnya akan diserahkan kepada PPD / PPB.

S: Apakah itu Skim Rondaan Sukarela (SRS)?

J: Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu rancangan / skim yang dikendalikan oleh pemastautin sukarela yang mendiami Kawasan-Kawasan Rukun Tetangga demi menjaga keselamatan kawasan kejiranan mereka melalui aktiviti kawalan dan rondaan.

  • Terdapat permintaan oleh sekurang-kurangnya 20 orang penduduk yang tinggal di dalam Kawasan Rukun Tetangga.
  • Berumur 18 tahun ke atas.
  • Warganegara Malaysia. Bukan warganegara boleh terlibat di dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan syarat hendaklah memiliki dokumen perjalanan yang sah.

S: Bagaimana saya ingin menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan tempat tinggal saya?

J: Skim Rondaan Sukarela (SRS) boleh dipohon oleh sekurang-kurangnya 20 orang pemastautin sukarela berumur 18 tahun ke atas dan mendiami di dalam Kawasan Rukun Tetangga dengan melengkapkan Bahagian A Borang Enam yang boleh diperolehi daripada Pejabat Perpaduan Daerah / Bahagian di seluruh negara.

Borang permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk ditandatangani dan Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga seterusnya akan menghantar permohonan kepada Pegawai Perpaduan Daerah / Bahagian untuk semakan sebelum dimajukan kepada Pengarah Perpaduan Negeri untuk sokongan dan akhirnya kelulusan oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga.

S: Berapakah tempoh masa yang diambil untuk sesebuah Skim Rondaan Sukarela (SRS) diluluskan?

J: Jika semua maklumat yang dikemukakan adalah benar, betul dan tepat, maka, kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh masa seminggu dari tarikh permohonan sampai di ibu pejabat.

S: Bagaimana cara untuk mengendalikan aktiviti rondaan?

J: Anggota-anggota peronda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pengendalian Skim Rondaan Sukarela kaedah dan prosedur untuk melakukan aktiviti rondaan.

S: Adakah pihak-pihak yang meronda di bawah Skim Rondaan Sukarela (SRS) layak diberi cuti rehat setelah selesai menjalankan tugas rondaan?

J: Anggota perkhidmatan awam yang menjalankan tugas rondaan mulai jam 12.00 malam untuk tempoh sekurang-kurangnya empat (4) jam berturut-turut layak dipertimbangkan pemberian pelepasan bekerja oleh Ketua Jabatan masing-masing. Tempoh pelepasan bekerja adalah bersamaan 4 jam sahaja dan selepas tempoh tersebut, anggota perkhidmatan awam dikehendaki melapor diri bertugas di pejabat masing-masing. Kemudahan pelepasan bekerja belum lagi dipanjangkan kepada sektor swasta dan oleh yang demikian, anggota peronda boleh memohon budi-bicara majikan masing-masing untuk mendapatkan pelepasan bekerja.

S: Adakah peralatan rondaan disediakan kepada peronda-peronda semasa menjalankan tugas rondaan?

J: Peronda-peronda yang bertugas menjalankan tugas rondaan akan dibekalkan dengan baju vest, topi, lampu picit, wisel, baton light, peti pertolongan cemas, rotan dan baju hujan. Peralatan di atas hendaklah disimpan oleh Jawatankuasa Skim.

S: Apakah kuasa yang ada kepada peronda-peronda semasa mereka menjalankan tugas rondaan?

J: Menurut Peraturan 27I [peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga)1975(Pindaan)1988] menjelaskan bahawa anggota peronda semasa menjalankan tugas rondaan di dalam kawasan yang dibenarkan meronda disifatkan sebagai pegawai polis berpangkat konstabel dengan syarat semasa menjalankan tugas rondaan tertakluk kepada arahan dan kawalan Pengarah, Jawatankuasa Skim dan Ahli Jawatankuasa Skim.

S: Adakah anggota peronda diberi kuasa melakukan tangkapan?

J: Peronda yang menjalankan tugas rondaan dibenarkan melakukan tangkapan (citizen arrest) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah iaitu menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh tangkap dan tidak boleh dijamin, yang berlaku pada pandangannya (depan mata) dan menyerahkan orang yang ditangkap kepada pegawai polis yang hampir sekali atau menghantar orang yang ditangkap ke balai polis yang berhampiran sekali.

S: Apakah bentuk perlindungan yang diberi kepada anggota-anggota peronda jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan?

J: Semua anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) di beri perlindungan insuran kemalangan diri berkelompok 24 jam dengan faedah-faedah berikut :

  • Kematian akibat kemalangan = RM 19,000.00
  • Kecacatan kekal akibat kemalangan = RM 19,000.00
  • Perbelanjaan perubatan (maksimum) = RM 500.00
  • Elaun Harian Hospital = RM 20.00 sehari (maksimum 30 hari)
  • Khairat Kematian (akibat kemalangan) = RM 1000.00

S: Bagaimanakah cara untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela?

J: Merujuk kepada Akta Rukun Tetangga 2012- Seksyen 15, Skim Rondan Sukarela (SRS) ini merupakan salah satu program teras di bawah RukunTetangga (RT). Ini menjadikan mana-mana Kawasan kediaman yang memerlukan SRS perlu menubuhkan RT terlebih dahulu. Permohonan SRS ini adalah datangnya dari penduduk ke JKRT untuk diminitkan sebelum proses selanjutnya diambil oleh Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian.

S: Siapakah yang boleh dihubungi berkaitan Kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela?

J: Bagi Skim Rondaan Sukarela :-

En. Ahmad Nazif Bin Hj. Mohamed
Email : nazif [at] jpnin [dot] gov [dot] my
Tel : 03-8883 7133