PERUTUSAN TAHUN BARU 2011 KETUA PENGARAH Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional
ASSALAMUALAIKUM W.B.T, SALAM PERPADUAN DAN SALAM 1MALAYSIA
Bersyukur ke hadrat illahi, dengan limpah kurniaNya kita berada dalam keadaan yang aman, makmur dan sihat sejahtera.
Alhamdulillah, marilah kita bersama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berpeluang untuk menyambut ketibaan tahun baru dalam suasana negara yang aman damai dan harmoni.
Perpaduan merupakan senjata yang tiada tolok bandingnya bagi mengukur tahap kemajuan, peradaban dan nilai sesebuah negara selain kemajuan dari segi pertumbuhan ekonomi negara sebagai ukuran. Kebijaksanaan pemimpin terdahulu telah terbukti dengan adanya “formula bijak” yang akhirnya menghasilkan kejayaan unggul yang membanggakan. ini dapat dilihat sejak dari dahulu lagi, para pemimpin berkobar-kobar memperjuangkan hak dan nasib rakyat dalam mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan demi mencapai kesepakatan dan keharmonian semua.
Bermulanya dengan kesedaran terhadap insiden 13 Mei 1969 telah membuka dimensi baru kepada Malaysia untuk merangka strategi yang lebih jitu dan berkesan demi memperkukuhkan perpaduan negara sejajar dengan menghapuskan jurang antara kaum yang menyebabkan perpaduan tidak dapat dicapai. Institusi raja diberi kemuliaan dalam melindungi setiap rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama. Begitulah uniknya malaysia. Tiada yang terbaik melainkan negara yang kita cintai ini.
Demi membina 1Malaysia yang menuju kearah keterangkuman dalam kepelbagaian, menwujudkan kesatuan dan perpaduan dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa adalah menjadi tanggungjawab JPNIN dan ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk di capai. Kita memerlukan anggota Pentadbiran Awam yang sentiasa bersedia untuk berubah dalam aspek apapun, yang boleh membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Kita perlu berubah dalam cara kita bekerja, berfikir dan mengendalikan tugas, untuk menuju ke tahap yang lebih baik. Jika kita semua mempunyai sikap positif dan proaktif, rakyat akan mudah didorong untuk berubah. Saya pasti, kejayaan adalah milik kita satu hari nanti. Bagi memupuk daya saing dan kompetitif dalam cara bekerja, kita seharusnya memandang ke arah meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian yang lebih tersusun dengan membuat perancangan yang bijaksana terutamanya mengendalikan program dan aktiviti yang berteraskan kepada keterangkuman dan kesaksamaan untuk semua kaum.
Misi perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh di pandang enteng, mengekalkan hubungan harmoni antara kaum adalah motif utama JPNIN. Jika dilihat dari segi manfaatnya, JPNIN mempunyai kelebihan dari segi hubungan yang lebih erat antara rakyat dan kerajaan. Bekerja untuk pembangunan minda rakyat adalah sesuatu yang harus dilihat dalam suatu konteks yang begitu mencabar, agar keharmonian dan perpaduan dapat terus kekal relaven sebagai sebuah negara yang mempunyai rasa kesatuan dalam menuju matlamat 1Malaysia. Dalam menjayakan aspirasi 1Malaysia, sokongan padu seharusnya diterajui oleh “tulang belakang” kerajaan iaitu penjawat awam agar gagasan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri akan sentiasa segar, dominan dan terus terpahat di hati semua rakyat pelbagai kaum.
Pelaksanaan di akar umbi juga harusnya berpaksikan kepada Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menyeru kepada semua warga JPNIN agar berubah ke titik permulaan yang lebih drastik, kreatif (berfikir di luar lingkungan), dan inovatif agar output yang disasarkan oleh kerajaan dapat disempurnakan dengan jayanya.
Saya yakin kekuatan yang kita bina di atas nama “Membudayakan Perpaduan Dan Meraikan Kepelbagaian” ini sekaligus dapat meraikan perbezaan dan kemajmukan tidak kira tua, muda, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban ataupun etnik lain. Semuanya, sejak dulu, kini dan selamanya akan hidup rukun sebagai 1Malaysia. Ini menunjukkan JPNIN begitu komited dalam mengerakkan aktiviti hingga ke akar umbi dalam memastikan Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela dan Tabika Perpaduan akan terus relevan di hati masyarakat. Kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep 1Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.
Sekali lagi saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru dan selamat maju jaya kepada semua.