visi, misi, moto & piagam pelanggan

Ucapan Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-53

Ketua
Pengarah
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional


Assalamu’alaikum dan Salam Perpaduan,

 

Di kesempatan ini saya menyeru kepada semua warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperhebatkan Kempen Kibar Jalur Gemilang untuk menzahirkan rasa cinta dan semangat kesetianegaraan di kalangan rakyat Malaysia. Bertepatan dengan tema kemerdekaan pada kali ini iaitu "1 Malaysia: Menjana Transformasi" yang menuntut semua rakyat Malaysia melaksanakan transformasi samada dalam sektor perkhidmatan awam amnya dan sebagai rakyat khususnya dalam pembinaan negara bangsa.

Kehidupan majmuk rakyat Malaysia membawa kepada kebudayaan yang berbeza mengikut amalan setiap kaum. Kepelbagain ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan menarik perlu diraikan. Dengan keunikan dari segi cara hidup, tatasusila, toleransi dan silang budaya yang diamalkan, kita perlu terus mempertahankan kedaulatan negara yang kita cintai ini dengan sentiasa bersatu dan bersama-sama berganding bahu dengan menangkis agenda sempit golongan tertentu yang sentiasa menaguk di air yang keruh.

Bagi memastikan Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) dapat dilaksanakan dengan jayanya, semua pihak haruslah bekerjasama dengan Kerajaan untuk sama-sama mempertingkatkan kualiti kerja yang mempunyai daya kreativiti, inovasi dan budaya berprestasi tinggi demi mencapai hasrat Kerajaan dalam mempertingkatkan tahap ketelusan mengenai objektif, sasaran dan rancangan masa hadapan Kerajaan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Dalam menyampaikan keberhasilan ini tidaklah begitu mudah, pelbagai cabaran dan dugaan harus ditempuhi demi melakar transformasi yang berskala tinggi dan bukan berdikit-dikit seperti yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Sesungguhnya keamanan yang dikecapi ini adalah hasil dari kebijaksanaan pemimpin terdahulu dan sekarang yang ingin melihat anak bangsa tidak terus dijajah tetapi dipandang sebagai bangsa yang bermaruah. Hargai dan peliharalah kesejahteraan yang dibina ini kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Walaupun mencabar, kita mesti melaksanakan transformasi ini dan membuat sesuatu yang berlainan untuk kehidupan generasi Malaysia masa kini demi generasi Malaysia akan datang dan mempertingkatkan prestasi kita di mata dunia.

Untuk seluruh rakyat khususnya saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 53. Semoga keamanan yang dinikmati ini tidak sekali-kali dinodai oleh anak bangsa akan terus melakar kejayaan bersama dengan Negara yang bertuah ini. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan sentiasa menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kesejahteraan negara demi mendokongi “1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

DATO’ AZMAN AMIN BIN HASSAN
Ketua Pengarah
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional