Kurangkan Pemanasan Global
Logo JPNIN

LAMAN WEB RASMI

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL

 

   
             

Skim Rukun Tetangga telah dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 29 Ogos 1975 dalam sektor Rukun Tetangga Kampung Kassipilay, Kuala Lumpur.

Skim ini diwujudkan di bawah Peraturan - Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) dalam Ordinan Darurat 1969. Penubuhan awal Skim Rukun Tetangga adalah untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadian-kejadian yang menggugat perpaduan nasional pada ketika itu.

Skim ini memberi kuasa kepada penduduk dalam memastikan keamanan dan keselamatan rumah dan kawasan sekitarnya melalui rondaan wajib ke atas penduduk berusia di antara 18 hingga 55 tahun.

Selain itu, RT juga pada masa itu berperanan untuk melaksanakan program kejiranan dan aktiviti berasaskan pembangunan komuniti serta pendidikan sosial dan sukan untuk meningkatkan perhubungan antara kaum dalam komuniti setempat.

Konsep Rukun Tetangga seterusnya mengalami fasa perubahan selaras dengan peredaran semasa sosio-ekonomi negara seperti berikut :

Tahun 1975 : Konsep Keselamatan
Tahun 1984 : Konsep Kejiranan
                      -  untuk meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan setempat.
Tahun 2001 : Pembangunan Komuniti
                      -  dalam aspek yang menyeluruh.
Tahun 2010 : Model Transformasi Rukun Tetangga
                        - Pelaksanaan program dan aktiviti berlandaskan lima teras iaitu perpaduan,
                          ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Lima teras ini adalah di antara kerangka yang dikenal pasti mampu mencapai matlamat Negara untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni lagi sejahtera.

Selaras dengan perkembangan terkini, termasuk pemansuhan akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat, maka Akta Rukun Tetangga 2012 telah digubal dan dikuatkuasakan pada 22 Jun 2012.

FUNGSI DAN TUGAS JAWATANKUASA RUKUN TETANGGA

(Seksyen 8 Akta Rukun Tetangga 2012)

  • Menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat;
  • Menerima maklumat mengenai, untuk memerhati dan menyiasat, semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam Kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada pengarah;
  • Mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana;
  • Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat; dan
  • Menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang di arahkan oleh Ketua Pengarah dari masa ke semasa.