Accessibility Toolbar
BANGI, 5 November 2023 – Seramai kira-kira 500 orang peserta telah menyertai Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor, hari ini. Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.
Bertemakan “Rukun Tetangga sebagai Penggerak Masyarakat Progresif”, program ini diadakan sebagai platform untuk berkongsi amanat dan hala tuju baharu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) selaras dengan hasrat Kementerian untuk Memperkasa KRT sebagai penggerak masyarakat progresif.
Selain itu, konvensyen ini turut diadakan bagi mempertingkat dan memperkukuhkan fungsi dan peranan Rukun Tetangga (RT) serta melipatgandakan usaha untuk menjadikan RT sebagai penggerak aspirasi Kerajaan untuk memperkasa rakyat.
Setelah 50 tahun penubuhannya, kejayaan RT bukan sahaja dalam aspek penyatuan masyakat, malah telah mengorak langkah untuk memperkukuhkan kewujudan serta sumbangannya dalam pembangunan komuniti. RT telah berjaya menganjak peranannya sebagai pengurus, pemimpin, pemacu dan penggerak yang efektif dalam komuniti setempat.
Profiling kawasan adalah amat penting dalam menentukan strategi dan tindakan serta kesesuaian program yang dianjurkan bagi memberi impak optimum kepada komuniti. Bermula tahun hadapan, satu daerah akan mempunyai satu model KRT Progresif.
Bagi memperkukuhkan lagi peranan KRT dalam komuniti di Malaysia, Kementerian telah memperkenalkan inisiatif terbaharu iaitu Pemerkasaan KRT sebagai Penggerak Masyarakat Progresif. Melalui Belanjawan 2024, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk memperkasa peranan KRT sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat serta memupuk perpaduan dalam komuniti.
Kementerian turut memberi fokus kepada lapan (8) inisiatif bagi memastikan RT berfungsi sebagai entiti penting dan inklusif serta berupaya membangun masyarakat mampan dan progresif. Inisitif tersebut ialah keselamatan komuniti, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan hidup serta warisan dan budaya.
Sejajar dengan cabaran dan keperluan semasa, Kementerian telah mengambil langkah untuk membuat semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012. Satu bengkel pindaan akta tersebut telah dilaksanakan dan pelbagai cadangan pindaan telah dibincangkan merangkumi pemanjangan tempoh pelantikan Anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga daripada dua (2) tahun bagi satu penggal kepada tiga (3) tahun, penggantungan keanggotaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan implikasi kepada pihak-pihak yang menghalang tugas SRS.
Pelbagai pengisian diadakan sempena konvensyen ini seperti Karnival Ekonomi Rukun Tetangga serta Sesi Pencerahan Minda bertajuk Pembudayaan Masyarakat MADANI : Membangun Masyarakat Progresif dan Strategi Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Masyarakat Progresif.