Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kita terus dikurniakan kesempatan untuk berbakti kepada tanah air melalui amanah besar yang dipikul oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Warga JPNIN yang saya kasihi sekalian,
Kita tidak boleh lagi berasa selesa dengan cara lama. Jika kita ingin melihat JPNIN kekal sebagai peneraju perpaduan negara, maka kita mesti berani melakukan perubahan. Integriti wajib menjadi asas kukuh dalam setiap tindakan, manakala keberanian untuk berubah adalah pemangkin kejayaan. Setiap warga jabatan hendaklah berfikiran jauh, berani mencuba pendekatan baharu serta bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab agar keyakinan rakyat terhadap JPNIN terus terpelihara.
Fokus utama JPNIN adalah melaksanakan program berimpak tinggi – program yang benar-benar memberi kesan positif kepada masyarakat dan membawa pulangan besar kepada negara. Usaha ini mesti digerakkan melalui pendekatan whole-of-nation dan whole-of-government, kerana perpaduan bukan tugas satu jabatan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Dalam membina masa depan negara, kita juga tidak boleh sesekali melupakan asas pendidikan awal. Maka, ekosistem Pendidikan Awal Kanak-Kanak perlu menjadi keutamaan kerana di situlah benih perpaduan mula disemai. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif akan membesar sebagai generasi yang membawa semangat muhibah dan toleransi sepanjang hayat mereka.
Selain itu, hala tuju JPNIN berlandaskan Dasar Perpaduan Negara dan skor pencapaian Indeks Perpaduan Nasional (IPNAS) sebagai penanda aras utama. Ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran sebenar tentang tahap kesatuan rakyat Malaysia yang perlu kita capai bersama.
Akhir kata, saya menyeru seluruh warga JPNIN untuk terus berganding bahu sebagai satu pasukan (TEAM – Together Everybody Achieve More). Bersama-sama, marilah kita memacu JPNIN menjadi organisasi unggul, berpandangan jauh, serta mampu meninggalkan legasi perpaduan yang kukuh untuk generasi akan datang.