Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) mengguna konsep latihan industri yang dijalani oleh mahasiswa di institusi pengajian tinggi sebelum tamat pengajian bagi memberi ruang dan platform kepada mahasiswa untuk meneroka, memahami, mengalami dan merasai alam pekerjaan yang sebenar sebagai persediaan apabila tamat pengajian dan memasuki dunia pekerjaan.
Perkara ini menarik perhatian PERPADUAN untuk melaksanakan PLIP berdasarkan senario sejak beberapa tahun kebelakangan ini di mana mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih selesa bekerja di sektor awam manakala mahasiswa dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lebih berminat bekerja di sektor swasta. Suasana ini jika dibiarkan berterusan, tidak akan membantu peningkatan hubungan, interaksi dan perpaduan di kalangan eksekutif berbilang kaum di negara ini.
Situasi tidak sihat ini boleh menggugat hubungan dan keharmonian masyarakat di mana terdapat kritikan-kritikan yang ditujukan kepada syarikat bukan bumiputera yang kurang berminat untuk mengambil pekerja bumiputera dalam syarikat mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham, buruk sangka dan prejudis di kalangan masyarakat berbilang kaum dan juga boleh menimbulkan salah faham terhadap Kerajaan bahawa sektor awam hanya dipelopori oleh bumiputera sahaja. Kepincangan ini bukan sahaja boleh menggugat perpaduan dalam masyarakat tetapi yang lebih membimbangkan ianya boleh membantutkan perkembangan ekonomi negara.
Atas dasar itu, PERPADUAN mengambil langkah proaktif bagi merapatkan semula jurang hubungan kaum yang kian melebar dalam masyarakat melalui PLIP dengan menyediakan platform kepada pelajar bumiputera untuk menjalani latihan industri di syarikat bukan bumiputera dan pada masa yang sama memberi peluang kepada pelajar bukan bumiputera menjalani latihan industri di syarikat bumiputera.
Keharmonian pekerja berbilang kaum yang bekerja dalam syarikat adalah pencapaian serampang dua mata dari program ini iaitu peningkatan perpaduan dan memperkasakan ekonomi pelajar yang terlibat melalui penyaluran teknologi dan kemahiran kepada pelajar dari syarikat. Oleh itu, program ini secara langsung bukan sahaja mensejahterakan masyarakat tetapi apa yang lebih utama adalah peningkatan dalam produktiviti negara.
Lihat sepenuhnya