Accessibility Toolbar
17 Mei 2024 - Usaha-usaha yang berterusan dalam memastikan keselamatan komuniti terjamin sentiasa berhubungkait dengan jaringan usahasama yang strategik daripada semua pihak serta peranan komuniti. JPNIN Pahang dan Pasukan Keselamatan Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pahang sudah termeterai sejak sekian lamanya.
Berlangsung di Dewan Komuniti KRT Indera Sempurna Fasa 3B berjaya menghimpunkan seramai hampir 300 orang di kalangan barisan pemimpin KRT gugusan Taman Indera Sempurna serta penduduk. Objektif program pada malam ini selain daripada mendampingi masyarakat, ia juga bertujuan sebagai kaedah perkongsian 2 hala secara kolektif daripada setiap lapisan masyarakat hal-hal berkaitan keselamatan komuniti.
Program pada hari ini dihadiri Yang Dihormati SAC Dato' Mohamad Noor Bin Yusoff Ali, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), IPK Pahang, YBhg. Puan Amira Abdullah Pengarah Perpaduan Negeri Pahang, YBrs Encik Romy Rossziman Bin Abd Rahman, Pegawai Perpaduan Daerah Kuantan, barisan pegawai-pegawai JPJKK IPK Pahang, pengerusi-pengerusi KRT gugusan Indera Sempurna dan para pemimpin-pemimpin tempatan.
Pengisian program dimulakan taklimat daripada SAC Dato' Mohamad Noor selaku peneraju JPJKK di Pahang dan diteruskan dengan taklimat oleh YBhg. Puan Amira Abdullah, Pengarah Perpaduan Pahang dan sesi dialog agensi, pemimpin KRT dan penduduk. Sebelum program melabuhkan tirainya, pengisian terakhir ialah rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama Polis.