Accessibility Toolbar
1 Jun 2024 - RT Progresif merupakan salah satu inisiatif yang diwujudkan oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memberi penekanan secara menyeluruh peranan yang perlu dimainkan oleh Kawasan Rukun Tetangga mendepani persekitaran dan perubahan semasa. Melalui model RT Progresif yang digariskan meliputi keseluruhan elemen diimplikasikan daripada segi aspek pembangunan komuniti, keselamatan, pendidikan serta pemerkasaan projek ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh kelompok komuniti.
Warga KRT Taman Anggerik Utama, Bentong pada hari ini amat teruja dengan kehadiran YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara melalui program Jalinan Muhibah yang dianjurkan. Bersama-sama mengiringi lawatan YBhg. Datuk KSU, YB Young Syefura binti Othman, Ahli Parlimen Bentong, YB Thomas Su Keong Seong, ADUN Ketari, YBhg. En Zulkifli bin Hashim, Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, YH Dato' Mohammad Shahid bin Ismail Pegawai Daerah Bentong, YBhg. Puan Amira Abdullah Pengarah Perpaduan Negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan daerah Bentong.
Lawatan YBhg. Datuk KSU dimulai dengan meninjau kawasan Kebun Komuniti yang diusahakan oleh komuniti KRT Taman Anggerik Utama. Kebuniti yang diusahakan ialah semaian anak pokok kelapa pelbagai jenis, durian musang king, duri hitam, teka dan pelbagai spesis lagi tanaman buah-buahan. Selain menjana pendapatan hasil jualan anak pokok, KRT Taman Anggerik Utama juga menyediakan Pusat Kitar Semula sebagai tempat buangan barangan terpakai yang boleh dijual dan meraih keuntungan kepada pihak KRT.
Usai meninjau kebuniti dan pusat kitar semula, YBhg. Datuk berpeluang mendengar taklimat perancangan membina kabin SRS dan YBhg. Datuk KSU menandatangani plak sebagai simbolik kepada usaha membangunkan kabin SRS di masa hadapan. Majlis perasmian dilaksanakan di Arena Sukan KRT Anggerik Utama, dengan kehadiran penduduk, pengerusi-pengerusi KRT daerah Bentong, wakil-wakil jabatan dan ibu bapa Tabika Perpaduan.
Intipati ucapan YBhg. Datuk KSU menekan kepentingan ruang dan peluang mengenali satu sama lain bagi memelihara perpaduan. Peranan dan tugas setiap lapisan masyarakat untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain dan semangat cintakan keharmonian dan keamanan.
Sebagai menghargai peranan yang dimainkan oleh rakan strategik sijil penghargaan diserahkan kepada agensi-agensi yang berperanan membantu dan menyokong program dan aktiviti perpaduan yang dianjurkan.
Program ini membuka inspirasi kepada segenap lapisan komuniti untuk bergerak lebih progresif dan berperanan yang lebih besar dalam pembangunan negara.