Accessibility Toolbar
09.02.2023 - Pada hari ini bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang telah berlangsung Majlis Graduasi Tabika Perpaduan 2022 Peringkat Daerah Sepang. Seramai 210 murid berumur 6 tahun telah menerima Sijil Kehadiran sambil disaksikan oleh ibubapa/penjaga mereka.
YB Ahli Dewan Negeri Sg Pelek, Tuan Ronnie Liu Tian Kiew dalam ucapan perasmian beliau telah menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk insan yang beradab dan bertamadun. Tanggungjawab ibubapa dan guru-guru adalah sangat penting sebagai asas pembentukkan sahsiah kanak-kanak agar mereka bersedia untuk menghadapi cabaran kehidupan mendatang.
Turut hadir bersama ke majlis ini ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, Tuan Burhanuddin bin Haji Daud, Pegawai Tugas Khas YB Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Anis Afida binti Mohd Azli, Pegawai Perpaduan Daerah Sepang, Puan Farah Ratuwati binti Ibrahim, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Sepang, Puan Haslina binti Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Daerah dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Daerah.
Para jemputan juga telah dihiburkan dengan persembahan yang bertenaga dan ceria daripada murid-murid Tabika Perpaduan dengan persembahan lakonan dan nyanyian bertajuk Suasana Hutan (Zon BBST/ Dengkil), Bunga Matahari (Zon Puchong) dan Tanya Sama Pokok dan Kisah Si Rama-rama (Zon Sg Pelek).
Bersempena dengan majlis ini diadakan juga pameran perkhidmatan agensi oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan, ICU JPM, pemerikasaan kesihatan oleh KOSPEN KRT Dahlia dan juga gerai jualan.